Wednesday, December 12, 2012

Aku Ingin Cantik Di Mata-Nya

Sama-sama kita buka minda, lapangkan dada, dan terima dengan hati terbuka tentang apa yang ingin saya kongsikan. Sama-sama kita bermuhasabah diri, merenung sejenak dan beriman sebentar..



~ Aku ingin cantik di mata-Nya ~

Seusai Solat Maghrib, dia mula merias wajahnya dengan solekan. 
Pakaian pengantinnya yang putih bersih disarung, bersiap-siap untuk majlis pernikahannya sendiri sebentar lagi. Tatkala dia leka menata rias dirinya,terdengar azan Isyak berkumandang. 

'Em, kena ambil wudhu' semula ni.'

Menyedari bahawa wudhu'nya telah terbatal, dia lalu berkata kepada ibunya: 

“Ibu, saya perlu ambil wudhu' dulu dan solat Isyak.”

Ibunya terkejut.

“Apa kamu gila?!! Tetamu sedang menunggu, untuk melihat kamu!Bagaimana dengan solekan kamu?! Nanti habis dirosakkan oleh air.” 

Tambah ibunya lagi :

“Sebagai ibu, ibu tak izinkan kamu solat sekarang! Wallahi… jika kamu ambil wudhu' sekarang, ibu akan tetap memarahi kamu.”

Si pengantin itu lalu menjawab :

“Wallahi, saya tidak akan pergi dari sini sehingga saya melakukan solat! 
Ibu sepatutnya tahu bahawa tidak ada ketaatan kepada mana-mana makhluk agar mendurhaka kepada Maha Pencipta.!”

Ibunya kemudian berkata lagi : 

“Apa kata tetamu nanti jika kamu muncul dalam majlis perkahwinan sendiri tanpa bersolek?! 
Tentu nampak jelek atau tidak cantik di mata mereka! Mereka pasti akan mentertawakan kamu!”

Sambil tersenyum, anak perempuan itu bertanya kembali pada ibunya. 

“Adakah ibu bimbang kerana saya tidak cantik di mata mereka? 
Bagaimana pula dengan Maha Pencipta saya? 
Saya bimbang ibu, jika saya terlepas solat saya, saya tidak lagi cantik di mata-Nya..”

Ibunya lalu terdiam mendengarkan jawapan anaknya.

Dia mula berwudhu', mengangkat hadath kecil dengan tertib. 
Segala calitan solekan pada wajahnya hilang. 
Tetapi tidak dia peduli, kerana bukan itu yang dia gusarkan.

Kemudian dia memulakan solatnya, dengan rukun-rukun dan tertib solat sebaik-baiknya. 

Dan pada masa si gadis itu turun untuk sujudnya, tanpa dia sedari, sujud yang menjadi saat paling dekat dengan Tuhannya itu menjadi sujudnya yang terakhir......


~ Setiap yang hidup pasti akan mati ~


(Diceritakan oleh Syeikh ‘Abdul Mohsen al Ahmad’, kisah ini berlaku di Abha (Ibu Negeri Asir di Arab Saudi)


****************************




Ya, beliau meninggal dunia ketika dalam sujud. Pengakhiran yang besar bagi Muslimah yang berkeras untuk mentaati Tuhannya.

Beliau telah mengutamakan Allah. Mengabaikan kecantikan yang manusia katakan cantik dan meninggalkan pujian manusia demi perhatian dari Allah. Ketaatan kepada Allah sebagai keutamaan dalam hidup beliau, menjadi pengakhiran terbaik yang dianugerahkan oleh Allah padanya. 

Dan pengakhiran ini, juga Allah anugerahkan pada mana-mana hamba-Nya yang layak memilikinya!

Beliau mahu lebih dekat kepada-Nya, maka Allah mengambil nyawanya pada saat di mana seorang hamba berada paling dekat kepada-Nya. 

Beliau tidak peduli jika tidak indah di mata makhluk, asalkan cantik di sisi Maha Pencipta.


~ Istimewa di sisi Allah, istimewa di sisi makhluk :) ~


Wahai Muslimah yang dikasihi Allah sekalian, bayangkan jika anda berada di situasi itu, apakah yang akan anda lakukan? Apakah yang akan anda pilih : 

Pujian manusia 

atau

Perhatian Maha Pencipta?


Wahai sahabat2ku di luar sana yang sungguh istimewa di hatiku, adakah kita punya jaminan 
bahawa kita akan hidup untuk tahun, bulan, minggu, hari, minit atau mungkin saat 
seterusnya?  Tiada jaminan. Tiada siapa yang tahu bila saat kematian akan datang. Tiada siapa tahu bila saatnya bertemu Izrail. Tanyakan pada diri, adakah kita bersedia untuk saat itu?


Wahai wanita istimewa yang kukasihi kerana Allah, yang manakah menjadi pilihan anda : 

Berbahagia tanpa rahmat Allah kerana tidak menutup aurat dengan sempurna

atau 

dirahmati Allah kerana menjaga perhiasan diri dengan sebaiknya?

Anda punya jawapannya.
Anda tahu apa kebenarannya.
Semata-mata mencari pujian manusia, sanggup menidakkan suruhan-Nya, mengiyakan larangan-Nya.

Adakah kita bersedia untuk bertemu Allah tanpa memelihara amanah yang diberi dengan sebaiknya?

Sekali lagi, anda tahu jawapannya.


*Petikan dari perkongsian Murabbi.

No comments:

Post a Comment